29 Ogos 2015, menjadi titik bersejarah bagi Syarikat Jeruk Madu Pak Ali (JMPA) dengan kehadiran Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar bin Haji Musa merangkap Ahli Parlimen Ketereh bersama Pengarah MARA Negeri Pulau Pinang, Encik Abdul Halim Bin Mamat dan beberapa kakitangan MARA ke Kilang JMPA. |
Rombongan pihak MARA ke Kilang JMPA adalah sempena lawatan kerja YB Tan Sri Datuk Seri Annuar bin Haji Musa bagi meninjau perkembangan usahawan-usahawan dibawah bimbingan MARA Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan juga ke Pusat Latihan MARA. Kehadiran rombongan MARA ini disambut dengan lebih meriah apabila rakan lama Tan Sri Annuar, Dato' Ellias bin Zakaria selaku Penasihat Syariah JMPA bersama-sama hadir di Majlis tersebut. |
Pihak pengurusan JMPA mengambil kesempatan diatas lawatan ini dengan melancarkan produk terbaru keluaran syarikat iaitu Dodol. Produk Dodol ini dengan pek bungkusan yang baru akan di perkenalkan nanti di pameran yang akan diadakan di Shenzen, China.
Sesi Taklimat
- Selain pelancaran tersebut, pihak syarikat JMPA turut membuat taklimat ringkas kepada YB Tan Sri Annuar bersama rombongan berkenaan latar belakang dan sejarah syarikat, pencapaian dan perkembangan terkini syarikat hasil dari bimbingan pelbagai agensi kerajaan termasuklah pihak MARA sendiri.
- Selepas selesainya sesi taklimat, Annuar bersama rombongan meninjau Pusat Jualan Agro Bazar JMPA untuk melihat sendiri produk-produk keluaran JMPA dan produk-produk usahawan Pulau Pinang yang lain dan produk keluaran FAMA yang turut dijual di Agro Bazar tersebut.